Tuesday 20 September 2011

SIFAT SABAR DAN TABAH DALAM MENGHADAPI MUSIBAH

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Manusia yang hidup di dunia ini tidak akan dapat lari daripada menerima qadak dan qadar Allah Subhanahu Wataala seperti musibah-musibah yang menyebabkan penderitaan dan kesusahan sebagai cabaran dan ujian dari Allah Subhanahu Wataala dan harus dihadapi dengan penuh kesabaran. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 yang tafsirnya :

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar".

Sesungguhnya sifat sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua musibah seperti sakit amat perlu kepada seorang hamba Allah. Kerana dengan sifat-sifat tersebut akan membolehkan kita menjadi orang yang reda terhadap qadak dan qadar Allah Subhanahu Wataala, bahkan ia boleh mengelakkan diri kita dari bersikap marah, kecewa, putus asa dan resah gelisah dalam menghadapi kesakitan yang dialami. Ketahuilah sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali 'Imran ayat 146 yang tafsirnya :

"Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar".

Sebagai contoh kita renung dan ambil iktibar betapa tingginya kesabaran Nabi Ayub Alaihi Wasallam ketika menerima ujian dari Allah Subhanahu Wataala ditimpa sakit yang amat berat di mana kulit tubuhnya hancur dimakan oleh ulat-ulat. Sungguhpun demikian keadaannya, Nabi Ayub Alaihi Wasallam tetap sabar menerima segala ujian Allah Subhanahu Wataala itu, bahkan tetap tekun beribadat kepada Allah Subhanahu Wataala. Sedangkan sebelum itu pun Nabi Ayub Alaihi Wasallam telah menerima ujian dengan kematian semua anak-anaknya dan semua hartanya habis hangus terbakar.

Allah Subhanahu Wataala telah mengingatkan di dalam Al-Quran sebagaimana Firman-Nya dalam Surah Al-Mu'min ayat 60 yang tafsirnya :

"Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu".

Oleh itu jika kita menerima ujian seperti sakit, maka bersabarlah dan berdoa dan bermohonlah kepada Allah Subhanahu Wataala kerana kepada Allah Subhanahu Wataala sahajalah sebaik-baik tempat memohon pertolongan. Di samping berdoa dan memohon kepada Allah Subhanahu Wataala, kita juga seharusnya berikhtiar dan berusaha mengubati penyakit tersebut seperti berjumpa doktor. Dan bagi meringankan bebanan kesakitan yang ditanggung, kita bolehlah mengadu kepada keluarga dan sahabat tetapi bukan dengan perasaan marah dan rasa tidak puas hati dan kecewa seolah-olah tidak reda dengan qadak dan qadar Allah Subhanahu Wataala.

Perlu juga diingat bahawa apabila menghadapi kesengsaraan atau kesakitan yang amat sangat, janganlah mudah kecewa dan putus asa sehingga mahu mati cepat agar terlepas dari menanggung seksa dan kesakitan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyatakan dalam hadis Baginda yang berbunyi yang maksudnya :

"Dari Anas bin Malik Radiallahuanhu, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sekali-kali kamu tidak boleh mengharapkan kedatangan mati kerana sesuatu kesukaran yang menimpa. Dan jika terpaksa mengharapkan kematian, maka hendaklah ia berkata : Ya Tuhanku, berikanlah aku kehidupan jika ia lebih baik bagiku dan wafatkanlah aku jika ia lebih baik bagiku".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Sesungguhnya sakit yang ditimpakan ke atas kita bukanlah bertujuan untuk menyusahkan kita tetapi disebaliknya mempunyai hikmah yang tersirat, ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak satu musibah pun yang menimpa diri seorang Muslim, sama ada yang berupa kesusahan dan penderitaan, kesedihan dan kedukaan ataupun penyakit, bahkan kerana sepotong duri yang mencucuk kakinya (anggotanya), melainkan dihapuskan oleh Allah dengan itu sebahagian dari kesalahannya".(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Kita perlu akur bahawa sebagai manusia, kita sememangnya pelupa dan mudah lupa diri terutama di kala senang dan mewah, tetapi sebaliknya mudah ingat Allah Subhanahu Wataala, saudara mara, sahabat dan kawan-kawan apabila berada dalam kesusahan, penderitaan dan kesakitan. Oleh yang demikian semasa sakit, kita digalakkan supaya bertaubat, membanyakkan berzikir, berdoa dan beristighfar meminta ampun kepada Allah Subhanahu Wataala atas apa yang telah berlaku dari kesilapan dan kelalaian yang telah dilakukan. Selain itu kita juga digalakkan untuk mengingati mati, sentiasa berbaik sangka kepada Allah Subhanahu Wataala dan sentiasa mengerjakan sembahyang lima waktu walaupun ketika sakit selagi tiada uzur syarie.

Manakala apabila kita sakit, kita hendaklah berikhtiar untuk berubat asalkan bukan dari benda-benda haram kerana setiap penyakit itu ada ubatnya. Perkara ini ada dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis Baginda yang maksudnya :

"Dari Tariq bin Syuwaidi Al-Jukfiee, bahawasanya ia bertanya kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tentang khamar. Lalu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarangnya atau Baginda benci membuatnya (khamar itu). Maka berkata Tariq : �Aku membuat khamar itu semata-mata untuk ubat�. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab : Sesungguhnya itu bukan ubat, tetapi adalah penyakit".(Riwayat Al-Imam Muslim).

Sebagai hamba Allah yang beriman, kita hendaklah bersabar dan tabah menghadapi ujian yang menimpa ke atas kita kerana semua itu adalah kuasa dan qadak dan qadar Allah Subhanahu Wataala sebagai peringatan kepada hamba-hamba-Nya supaya tidak terus lalai dan leka dalam kesenangan dan kemewahan hidup di dunia. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa bersama kita sebagaimana yang dijanjikan Allah Subhanahu Wataala untuk sentiasa bersama orang-orang yang sabar dan sentiasa melimpahkan rahmat dan hidayah serta memberikan perlindungan kepada kita semoga selamat di dunia dan di akhirat, Amin Yarabbal Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 177 yang tafsirnya :

"Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan fi sabilillah. Orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa".

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata. Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang tidak dapat membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya; itulah kesesatan yang jauh terpesong. Ia menyeru dan menyembah makhluk yang (dengan perbuatan demikian) mudaratnya lebih dekat dari manfaat yang diharapkannya; demi sesungguhnya seburuk-buruk penolong dan seburuk-buruk sahabat karib ialah makhluk yang diseru dan disembahnya itu. AlHajj :11-13

Intisari ayat

Dalam ayat di atas, Allah S.W.T. menjelaskan bahawa orang yang tidak tetap imannya akan gembira apabila mendapat nikmat dan kebaikan. Sebaliknya akan murtad dan kafir apabila ditimpa bala bencana. Mereka sanggup menyembah selain Allah S.W.T. dengan harapan untuk melepaskan diri mereka daripada bala yang menimpa. Mereka akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat. Mereka termasuk dalam golongan yang sesat.

Huraian ayat

Allah S.W.T. menjadikan manusia dalam keadaan yang berbeza beza sama ada diberi kesenangan, kesusahan, kelemahan, kemiskinan, kelaparan dan sebagainya. Setiap yang diturunkan adalah untuk menguji keimanan seseorang hambaNya.

Kedua:

Dalam menghadapi ujian daripada Allah S.W.T., orang yang beriman menerima ujian tersebut dengan sabar dan tabah kerana mereka sedar setiap perkara yang berlaku pada dirinya adalah ketentuan daripada Allah S.W.T.

Manakala bagi golongan yang tidak beriman, mereka akan kecewa, putus asa, menyalahkan takdir Allah S.W.T. dan sanggup melakukan kemungkaran supaya terlepas daripada kesusahan yang menimpanya. Terdapat antara mereka yang meninggalkan agama Islam kerana terpengaruh dengan agama lain yang menjanjikan kemewahan hidup di dunia.

Ketiga:

Orang-orang mukmin yang diuji dengan berbagai-bagai kesusahan hidup di dunia dan bersabar menghadapinya akan mendapat kedudukan yang mulia disisi Allah S.W.T. Orang yang demikian beroleh pahala yang lebih tinggi daripada orang-orang yang mengerjakan ibadat lain.


Firman Allah, maksudnya: "demi sesungguhnya Kami menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan lapar (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." surah Al-Baqarah: ayat 155

Keempat:

Ujian dan dugaan yang dihadapi oleh seseorang menunjukkan bahawa dirinya termasuk dalam golongan yang diberi keistimewaan oleh Allah S.W.T. Kesusahan yang ditanggung menjadi pembersih dirinya daripada berterusan melakukan perkara perkara tidak baik.

Firman Allah, maksudnya:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan 'Kami telah beriman' sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah S.W.T. mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta. "Surah Al-Ankabut: ayat 2-3.

Kelima:

Sabar ialah sifat yang mulia bagi orang-orang mukmin. Sifat tersebut dapat menempuh apa-apa yang terjadi di sekeliling. Itulah sebabnya "sabar" menjadi salah satu daripada nama-nama Tuhan yang agung (yang Maha Penyabar). Tuhan tidak akan memberi pembalasan kepada hambaNya yang melakukan
kesalahan dengan segera.


Keenam:

Sabar terbahagi kepada beberapa jenis antaranya termasuklah:

i. Sabar mengerjakan perintah Allah S.W.T.

ii. Sabar melawan nafsu.

iii. Sabar terhadap sebarang dugaan yang terjadi pada diri seperti kematian, kebakaran, banjir dan sakit..


i. Setiap orang Islam hendaklah sabar mengerjakan perintah Allah S.W.T. Perintah tersebut hendaklah dikerjakan dengan sepenuh kesabaran, keikhlasan, tekun dan berkekalan.

ii. Sabar menahan daripada berbuat maksiat ialah berjaya menentang segala godaan yang tidak baik terhadap dirinya. Kesabaran yang lahir ini adalah kesan daripada kepercayaan dan keyakinan serta azam yang kuat untuk mencapai keredhaan Allah S.W.T.

iii. Setiap orang mukmin hendaklah sabar terhadap segala kejadian yang tidak baik yang berlaku pada dirinya sama ada harta, pangkat, kedudukan, keluarga atau sebagainya.

Bentuk ujian keatas manusia.

a. Ujian kesenangan seperti nikmat kesihatan dan kekayaan

b. Ujian kesusahan seperti kemiskinan, sakit dan sebagainya.

c. Ujian ke atas orang perseorangan

d. Ujian ke atas kumpulan, masyarakat atau jemaah.

e. Allah S.W.T. menjelaskan setiap orang mukmin pasti diuji oleh Allah S.W.T.


Kepentingan sabar

a. Mendapat darjat pahala yang tinggi disisi Allah S.W.T.

b. Melapangkan hati, tidak merasa runsing atau dukacita.

c. Segala urusan dunia dan akhirat menjadi mudah.

d. Mendapat berkat daripada Allah S.W.T.

e. Selamat dari gangguan mental dan emosi.

Fakta2 Penting

a. Orang Islam hendaklah bersyukur apabila menerima kurniaan Allah dan bersabar apabila menerima ujian daripadaNya

b. Maruah diri, agama dan bangsa hendaklah dijaga di samping mengejar kemewahan hidup di dunia.

c. Kesenangan dan kesusahan adalah merupakan ujian Allah terhadap hambaNya.

d. Orang yang tidak beriman menerima ujian daripada Allah dalam keadaan resah gelisah serta kecewa.

e. Islam melarang umatnya mempercayai perkara-perkara karut kerana perbuatan tersebut mendatangkan kesan yang tidak baik terhadap individu dan masyarakat Islam

No comments:

Post a Comment